• Perogol Remaja 13Tahun Menangis Dipenjara 10 Tahun

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    Empat remaja menangis teresak-esak di kandang tertuduh sebaik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, menambah hukuman penjara daripada lima hari kepada masing-masing lima tahun dan 10 tahun bagi pertuduhan merogol berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan, tahun lalu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan demikian selepas menerima rayuan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail (perayu) ke atas hukuman yang dijatuhi Mahkamah Majistret Kanak-Kanak terhadap keempat-empat remaja (responden) berusia 16 tahun hingga 17 tahun itu pada 20 Mac lalu.

    Tiga remaja yang didakwa merogol dihukum penjara 10 tahun manakala seorang lagi yang didakwa melakukan seks luar tabii dihukum penjara lima tahun.

    Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berkuat kuasa serta-merta.

    Keluarga remaja terbabit yang berada di galeri awam mahkamah juga tidak dapat menahan tangisan sebaik mahkamah membacakan keputusan.

    Dalam keputusannya, Mohamad Shariff berkata, pengakuan salah yang dibuat responden-responden di Mahkamah Majistret Kanak-Kanak sebelum ini adalah pengakuan tanpa syarat yang sah di sisi undang-undang.

    Sebelum menjatuhi hukuman, Mohamad Shariff turut menasihati mereka supaya bertaubat dan berubah.

    “Mahkamah bersimpati pada kamu kerana kamu masih muda tapi mahkamah lebih bersimpati pada mangsa yang mengalami trauma.

    “Tindakan kamu ini sangat memalukan. Mahkamah harap kamu bertaubat,” katanya.

    Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Majistret Kanak-Kanak menjatuhi hukuman lima hari penjara ke atas keempat-empat remaja itu selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan.

    Mengikut pertuduhan, tiga remaja itu didakwa bersama-sama melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun sembilan bulan di kawasan semak di Sentul, jam 4 pagi, 7 Disember 2016.

    Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

    Seorang lagi tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama di tempat dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Responden diwakili peguam Ravin Singh dan Mohd Zaidi Othman.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Perogol Remaja 13Tahun Menangis Dipenjara 10 Tahun "