• Perkukuh iman, pegang teguh ajaran agama - Abang Johari

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+
    PIX Nadim Bokhari

    KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar sentiasa memperkukuhkan iman, selain berpegang kepada ajaran agama masing-masing.

    Ketua Menteri Sarawak juga banyak menyentuh mengenai nilai spiritual, dengan memberi penekanan bahawa setiap perbuatan dilakukan pasti mempunyai kesan tertentu, sama ada baik atau buruk.

    "Integriti adalah nilai sejagat dalam semua agama kerana membabitkan soal tanggungjawab ketika memikul tugas diamanahkan. Walaupun tiada yang tahu sama ada kita berintegriti atau tidak, bagi yang beragama, pasti tahu adanya `tindakan dan balasan Tuhan'.

    "Integriti begitu penting kerana kita tidak mahu menjadi pentadbiran gagal seperti di kebanyakan negara Afrika di mana penyelewengan berlaku secara berleluasa," katanya.

    Beliau berkata demikian pada Program Amanat Integriti Bersama Ketua Menteri Sarawak di sini, hari ini.

    Yang hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip.

    Keseluruhannya, 900 penjawat awam termasuk wakil parti politik hadir pada program berkenaan yang julung kali diadakan pentadbiran kerajaan negeri di negara ini terutama membabitkan amanat khusus berkaitan integriti.

    Abang Johari berkata, kekayaan sumber Sarawak tidak menjamin kesejahteraan negeri dalam tempoh panjang andai nilai integriti hilang dalam kalangan kepemimpinan kerajaan serta penjawat awam.

    "Nigeria disebut Bank Dunia sebagai negara gagal walaupun ia kaya dengan sumber minyak. Kehilangan integriti bukan sahaja merugikan rakyat, malah negara berkenaan secara konsisten berada dalam ketidaktentuan politik.

    "Ini disebabkan proses kudeta atau rampasan kuasa yang bersilih ganti kerana masing-masing mahu merebut kekayaan negara untuk kepentingan sendiri," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Perkukuh iman, pegang teguh ajaran agama - Abang Johari "