• Pereka 'jubah pahlawan' dihadapkan ke mahkamah lagi

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    SHAH ALAM - Pereka 'jubah pahlawan' yang tular di laman sosial tahun lepas kerana rekaan jubahnya kelihatan feminin, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang jururawat hospital membabitkan kerugian RM50,000, tiga tahun lepas.

    Ahmad Syubaili Aziz, 31, yang juga menjalankan perniagaan nasi lemak, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

    Dia didakwa menipu wanita berusia 28 tahun itu dengan menawarkan pendaftaran perniagaan MLM DCHL daripada Syarikat RZ Corporation Sdn. Bhd, sehingga mendorong mangsa menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Rakyat miliknya yang mengandungi wang berjumlah RM50,000.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Bank Rakyat cawangan Sungai Buloh dekat sini, pada 26 Februari 2014 dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

    Raja Noor Adilla membenarkan Ahmad Syubaili dibebaskan dengan jaminan RM4,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli sementara tertuduh diwakili peguam Ellen Cheran.

    Pada 27 Oktober lepas, Ahmad Syubaili mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memperdaya dua jururawat hospital berhubung perniagaan nasi lemak melibatkan kerugian RM84,000. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pereka 'jubah pahlawan' dihadapkan ke mahkamah lagi "