• Perdagangan Malaysia-China Untungkan Rakyat

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    Kerajaan menafikan dakwaan kononnya rakyat tempatan berhadapan kesukaran memperolehi pekerjaan dalam syarikat pelaburan asing yang beroperasi di negara ini.

    Sebaliknya menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Ahmad Maslan, langkah kerajaan mempertingkatkan hubungan perdagangan dengan negara seperti China menguntungkan rakyat tempatan.

    Sambil memberi contoh, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan bahawa syarikat Alliance Steel membina kilang keluli di Taman Perindustrian Malaysia-China (MCIP) di Kuantan dengan mengambil hampir 1,000 orang rakyat tempatan untuk bekerja di syarikat berkenaan.

    “Tuduhan oleh bekas pemimpin negara yang pernah melawat hadapan kilang itu dan memberitahu kononnya syarikat tersebut menggunakan tenaga pekerja asing dan menafikan peluang rakyat tempatan bekerja di situ adalah tidak benar,” katanya

    Terdahulu, Ahmad menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa China merupakan rakan dagangan Malaysia yang terbesar sejak tahun 2009.

    Katanya, sehingga 31 Disember tahun lalu sejumlah 220 penyertaan syarikat dari China dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM14.2 bilion.

    Projek usahasama kedua-dua negara ini mewujudkan 33,020 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” tegas Ahli Parlimen Pontian itu ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.

    Pada tahun lalu, jumlah perdagangan Malaysia dengan China adalah RM240.91 bilion manakala pada sembilan bulan pertama tahun ini mencatatkan pengukuhan dengan pertambahan 24.8 peratus iaitu RM212.94 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu 170.64 bilion.

    Jumlah eksport Malaysia ke China dari Januari hingga Sept lalu meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM91.78 bilion manakala jumlah import adalah RM121.08 bilion.

    Komposisi utama barangan eksport ke China terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik berjumlah RM36.59 bilion, kimia dan bahan kimia (RM10.3 bilion), petroleum (RM10.3 bilion), pengeluaran getah(RM4.3 bilion) dan LNG RM4.12 bilion. - BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Perdagangan Malaysia-China Untungkan Rakyat "