• Peras Ugut Dengan Gambar Bogel, Lelaki Ditahan

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+
    JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai cuba memeras ugut RM5,000 daripada seorang suri rumah di sini.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata suspek berusia 40-an itu ditahan di Alor Setar, Kedah oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Muda kira-kira 5.00 petang Ahad lalu.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata penangkapan itu susulan laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 48 tahun yang mendakwa dia diminta membayar RM5,000 kepada suspek jika tidak, gambar separuh bogelnya dihantar kepada suaminya.

    Noor Hashim berkata berdasarkan laporan itu, wanita berkenaan mendakwa berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook dan bersetuju berjumpa suspek di sini setelah dipujuk beberapa kali.

    Mangsa yang menjemput suspek di terminal bas serta menginap di sebuah hotel di Nusa Bestari, Skudai, turut mendakwa dirinya berada dalam keadaan separuh sedar sehingga menuruti segala arahan suspek termasuk pergi berjalan-jalan di Singapura sebelum menghantar suspek ke terminal bas untuk pulang ke Kedah.

    Noor Hashim berkata suspek kemudiannya menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan meminta wang serta mengugut memberitahu suami mangsa berhubung pertemuan mereka selain menghantar gambar separuh bogel wanita itu kepada suaminya.

    Hasil siasatan lanjut, suspek yang mempunyai 2 orang anak dan bekerja sendiri tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

    Suspek ditahan reman bermula Isnin lepas sehingga esok untuk membantu siasatan menurut Seksyen 385 Kanun keseksaan (Pemerasan) dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah). - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Peras Ugut Dengan Gambar Bogel, Lelaki Ditahan "