• Peranti Semakan Status Imigresen Diperluaskan

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    SUNGAI PETANI: Penggunaan peranti untuk memudahkan orang ramai menyemak status kawalan imigresen akan diperluaskan ke beberapa pintu masuk negara mulai bulan ini.

    Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, selepas melihat keberkesanan penggunaan peranti berkenaan dalam mengelak kesesakan di pintu sempadan akibat isu kawalan imigresen.

    Beliau berkata, peranti itu bukan baharu dan sudah mula diperkenalkan bulan lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan diaplikasikan di klia2 serta Bangunan Sultan Iskandar di Johor tidak lama lagi.

    "Sebelum ini sering berlaku kesesakan berikutan terdapat penumpang menghadapi sekatan kawalan untuk ke luar negara dengan beberapa agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

    "Bagaimanapun kini agensi seperti PTPTN sudah membuka kiosk mereka sendiri di lapangan terbang bagi membantu penumpang yang ingin membuat pemeriksaan status kawalan mereka.

    "Jadi penggunaan peranti itu memudahkan orang ramai menyemak status kawalan masing-masing sebelum tiba di kaunter imigresen, sekali gus mengelakkan kesesakan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengetuai Ops Bersepadu bersama pelbagai agensi termasuk Agensi Kawalan Sempadan dan Jabatan Pendaftaran Negara di sini, tengah malam tadi.

    Mustafar berkata, selain penggunaan peranti itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Jabatan Imigresen http://sspi2.imi.gov.my untuk membuat semakan berkenaan.

    Sementara itu dalam operasi bermula jam 12 tengah malam tadi, seramai 715 warga asing diperiksa di kilang papan dan penempatan di sekitar kawasan perusahaan Bukit Selambau.

    Hasil pemeriksaan itu, 67 daripadanya membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Indonesia berusia antara 14 hingga 50 tahun dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

    Mustafar berkata, mereka yang ditahan itu dikesan melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas diberi mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

    "Pendatang asing tanpa izin itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik untuk siasatan lanjut," katanya.  - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Peranti Semakan Status Imigresen Diperluaskan "