• 'Perang' Judi Telefon Pintar, Tablet

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    Sindiket judi kini dikesan menukar operasi mereka melalui telefon pintar dan tablet selepas tindakan agresif pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu premis judi di seluruh negara.

    Malah, PDRM sudah mengambil tindakan terhadap beberapa dalang sindiket perjudian dan ada juga yang masih diburu selepas dikesan mendalangi kegiatan haram berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya turut mengesan beberapa dalang yang menyembunyikan diri bagi mengelak daripada diambil tindakan.

    "Semalam saya sudah mengadakan pertemuan dengan Kontinjen Selangor dan membuat penilaian kegiatan yang berlaku di Selangor. Ada beberapa dalang yang sudah diambil tindakan.

    "Masih terdapat dalang yang kami sedang siasat dan akan diambil tindakan sewajarnya," katanya ketika sidang media sejurus menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata, fokus PDRM kini adalah memastikan premis judi haram ditutup sepenuhnya selain turut memberi tumpuan terhadap modus operandi baru.

    "Fokus kami untuk memastikan tiada lagi kegiatan ini di tempat awam. Kami mempunyai maklumat sindiket beroperasi menggunakan tablet dan telefon bimbit bagi mengelak daripada diambil tindakan.

    "Selain itu, kami mahu memastikan pemilik setiap premis yang terbabit tidak akan terlepas daripada tindakan undang walaupun ia disewakan kepada sindiket.

    "Bagi yang mempunyai lesen hiburan mengikut enakmen dari pihak berkuasa tempatan (PBT), namun didapati menyalahgunakan lesen, polis akan memastikan lesen mereka dibatalkan," katanya.

    Sebelum ini Noor Rashid mengarahkan semua IPK di seluruh negara agar mengesan, menyerbu sekali gus menghapuskan mana-mana premis mesin perjudian di negeri masing-masing.

    Arahan itu yang berkuat kuasa serta-merta dikeluarkan selepas Bukit Aman susulan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun supaya kegiatan perjudian haram di seluruh negara dibanteras.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Perang' Judi Telefon Pintar, Tablet "