• Perancang Perkahwinan Perdaya Pelanggan

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memperdaya pelanggannya, awal tahun ini.

    Zurina Ahmad Jundi, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan Nor Ika Nadzirah Sirajudin supaya menyerahkan wang tunai sebanyak RM8,500 sebagai wang pendahuluan bagi kos upah pakej perkahwinan yang berlangsung, pada 16 September lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di butiknya di Bandar Baru Uda, di sini antara 22 Mac hingga 13 Mei lalu.

    Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat selain boleh juga dikenakan denda.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perancang Perkahwinan Perdaya Pelanggan "