• Penyokong PAS Tunai Solat Hajat Di Perkarangan Wisma Tok Guru

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Kira-kira 5,000 penyokong PAS menyertai Himpunan Kesyukuran dan Solat Hajat Perdana di perkarangan Wisma Tok Guru di Salor malam ini.

    Solat berkenaan yang diimamkan oleh Nik Rozi Nik Mat iaitu adik kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai tanda kesyukuran berhubung pemilikan baharu tanah yang menempatkan wisma tersebut.

    Turut menyertai solat berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri serta pemimpin PAS yang lain.

    Anggota Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa hari ini gagal dalam usahanya untuk mendapatkan injunksi Mahkamah Tinggi bagi menghalang pemilik tanah yang menempatkan wisma itu Mohd Yasin Yusoff daripada membenarkan mana-mana pihak mengadakan aktiviti di tanah miliknya itu.

    Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache berkata mahkamah membuat keputusan itu dengan mengambil kira defendan (Mohd Yasin) selaku pemilik baharu tanah tersebut mempunyai hak kerana sudah membayar serta membeli hartanah itu secara sah.

    Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas Adun Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim, yang menamakan isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Mohd Yasin, yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan dengan harga RM700,000.

    Dalam masa sama, wisma tersebut masih digunakan sebagai Pejabat ADUN Salor oleh Husam yang mendakwa mendapat kebenaran daripada pemilik asal tanah berkenaan. Husam kini Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

    Berikutan itu PAS memberi notis kepada Husam untuk meninggalkan wisma tersebut dalam tempoh sebulan yang telah berakhir pada 12 Nov lepas. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penyokong PAS Tunai Solat Hajat Di Perkarangan Wisma Tok Guru "