• Penggunaan Internet Kini Lebih 89 Peratus - Jailani

    Published: Wednesday, 15 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Penggunaan Internet di negara ini kini meningkat kepada 89.3 peratus berbanding 80 peratus pada 2016, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata kajian pengguna media sosial mendapati 15.5 peratus pengguna adalah dalam kalangan remaja berumur 19 tahun ke bawah.

    "Hasil dapatan kajian itu juga mendapati pengguna media sosial menggunakan Internet sekitar empat jam sehari," katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai).

    Beliau berkata pemilik akaun Facebook meningkat daripada 96.5 peratus pada 2016 kepada 97.3 peratus setakat ini, selain Instagram (46.7 peratus kepada 56.1 peratus) dan Twitter (26.5 peratus kepada 26.6 peratus).

    Mengenai perlindungan data peribadi, beliau berkata pengguna Internet perlu lebih berhati-hati menyalurkan maklumat terutama menerusi media sosial memandangkan data dikumpul setiap hari dan tanpa sempadan.

    Jailani turut menyarankan pengguna Internet menggunakan kata laluan bersifat 'alphanumeric' iaitu gabungan nombor dan abjad sebagai langkah perlindungan.

    Katanya antara modus operandi yang sering digunakan penjenayah siber ialah teknik penggodaman, kecurian fizikal seperti komputer riba dan telefon pintar, penyamaran seperti menggunakan e-mel serta media sosial.

    Selain itu, Jailani berkata kementerian sentiasa mengingatkan syarikat telekomunikasi untuk memeriksa sistem transaksi bagi memastikan ia tidak digodam.

    Katanya langkah itu termasuk dalam syarat lesen yang perlu dipatuhi pihak syarikat telekomunikasi.

    Beliau berkata sehingga kini tiga kes telah didakwa di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan kesemuanya telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

    Akta itu adalah untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial dan terpakai kepada pelbagai sektor serta industri utama negara yang merupakan pengguna data seperti komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti.

    Menerusi akta berkenaan, sebarang bentuk penzahiran maklumat peribadi tanpa persetujuan pengguna data menerusi apa-apa platform termasuk Internet adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penggunaan Internet Kini Lebih 89 Peratus - Jailani "