• Pengawal keselamatan didakwa sokong Daesh

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh, awal tahun ini.

    Pengakuan itu dibuat Zefrul Hashim, 39, sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Datuk Azman Abdullah.

    Dalam pertuduhan, tertuduh didakwa dengan pengetahuannya telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan Abu Sayyaf dengan cara menggalakkan atau mendorong seorang individu yang dikenali dengan nama "Zahra Alisya" melalui perbualan dalam aplikasi laman sosial Facebook Messenger, yang mana tertuduh menggunakan akaun bernama "Abu Qaqa".

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 28 Tingkat Perpaduan 22, Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, di antara 18 Februari dan 9 Mac 2017.

    Dia didakwa mengikut perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dihukum di bawah subseksyen 130J(1) kanun sama.

    Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk kesalahan itu boleh dirampas.

    Mengikut pertuduhan kedua, Zefrul didakwa memiliki 109 keping gambar dan 116 buah video di dalam telefon bimbit jenama "Asus" miliknya, yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan pengganas Daesh pada 3.50 petang, 6 Mac lalu di tempat sama.

    Kesalahan itu didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan item boleh dilucut hak.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfaida Mohd Rashidee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

    Subjects:

  • No Comment to " Pengawal keselamatan didakwa sokong Daesh "