• Pengasas Apple Tidak Keberatan Bantu Promosikan Sarawak

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+


    KUCHING: Tidak keberatan baginya untuk membantu mempromosikan Sarawak kepada masyarakat dunia kata Pengasas bersama syarikat Apple, Steve Wozniak.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, banyak perkara menarik di sini perlu diterokai dan dipromosikan kepada masyarakat dunia.

    “Ya, saya boleh mempromosikan Sarawak namun saya tidak berpeluang untuk menerokai lebih banyak perkara yang menarik di sini.

    “Saya seorang penceramah awam, jadi tidak menjadi masalah untuk saya berkongsi perkara tentang Sarawak kepada masyarakat dunia,” katanya di sini semalam.

    Sementara itu, Wozniak memberitahu bahawa beliau menjangkakan semua pembayaran dari sekarang dan masa depan akan melalui telefon pintar sahaja.

    Katanya alat yang dimiliki oleh hampir semua orang ini seterusnya mungkin menjadi kunci kereta, rumah dan sebagainya melalui pembangunan aplikasi.

    “Institusi pengajian tinggi di sini perlu mula melahirkan jurutera digital dalam pembangunan mata wang siber yang menjadi platform dalam ekonomi digital global,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, ‘blockchain’ dan ‘bitcoins’ merupakan antara mata wang siber yang popular sekarang selain pembangunan kepintaran buatan (artificial intelligence) yang semakin maju.

    “Ini seterusnya akan berkembang kepada produk-produk inovasi baharu seperti kenderaan elektrik pintar yang memandu sendiri yang sedang rancak dibangunkan pelbagai negara sekarang,” jelasnya.

    Tambahnya, ini adalah ekonomi masa depan meskipun permintaan terhadap teknologi ini masih rendah ekoran harga yang tinggi namun yakin ia akan menjadi mampu milik selepas dihasilkan secara banyak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Seperti Apple katanya, mereka mula mengasah jurutera digital baharu yang berani mengambil risiko untuk mewujudkan sesuatu daripada minat dan imiginasi. – Sarawakiana
  • No Comment to " Pengasas Apple Tidak Keberatan Bantu Promosikan Sarawak "