• Pengantin Zombi Pilih Tema Ala Halloween

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    LONDON – Sepasang pengantin membuat kelainan untuk majlis perkahwinan mereka apabila memilih tema ala Halloween dengan pasangan itu dan keluarga serta hadirin berpakaian seperti hantu dan watak mengerikan.

    Billy Bradshaw dan Charlene Hill, yang masing-masing berusia 27 tahun, mengambil kesempatan hari istimewa mereka untuk menunjukkan minat mendalam terhadap kisah seram, malah mengadakan majlis pada hari Halloween, 31 Oktober lalu.

    Pasangan dari Chaddesden, Derby, itu juga berpakaian sebagai pontianak terkenal, Count Dracula dan watak kisah animasi Corpse Bride, selain majlis di Pejabat Pendaftar Derby itu diiringi lagu popular Michael Jackson, ‘Thriller’ dan lagu tema filem keluarga hantu, The Addams Family.

    Bradshaw dan Charlene yang bercinta sejak di bangku sekolah cuma membelanjakan £500 (RM2,800) dengan hiasan ringkas termasuk keranda yang digunakan untuk menghidangkan minuman serta kek perkahwinan dihiasi ‘labah-labah’ dan sawang yang boleh dimakan.

    Pengapit Charlene juga berpakaian seperti ‘sugar skull’ iaitu tengkorak yang sering dilihat ketika sambutan Hari Kematian di Mexico.

    Menurut Bradshaw, Charlene yang mencadangkan tema berkenaan.

    “Kami memang sukakan sesuatu yang lain daripada yang lain, jadi dari awal tidak berminat mengadakan majlis tradisional. Malah antara idea difikirkan termasuk majlis bertemakan baju tidur.

    “Lebih menyeronokkan apabila kami meminta izin pejabat pendaftar untuk menghiasi dewan mengikut tema kami dan mereka menyokongnya.

    “Mereka juga seronok kerana tidak pernah melihat perkahwinan bertemakan Halloween,” katanya.

    Pasangan yang mempunyai tiga anak itu bertunang pada 2010 selepas bercinta sejak berusia 13 tahun dan berkongsi minat kisah seram serta sambutan Halloween.

    “Halloween memang istimewa bagi kami, jadi tema perkahwinan ini sesuai dengan tradisi dalam hubungan kami. Saya mahukan hari istimewa ini turut menyeronokkan untuk semua yang menghadiri serta menjayakannya,” katanya. –DAILY MAIL/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pengantin Zombi Pilih Tema Ala Halloween "