• Penduduk Rumah Panjang Rayu Percepat Bina Jambatan

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    Penduduk rumah panjang Buluh Antu Padeh, Betong merayu pihak berwajib mencari secepat mungkin jalan alternatif atau mempercepatkan proses pembinaan semula jambatan di kawasan mereka yang telah runtuh.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, seorang penduduk berkata jambatan tersebut runtuh akibat tidak mampu menampung beban sebuah lori pembancuh simen yang melalui jalan terbabit.

    Menurutnya, tayar lori tersebut terperosok dalam runtuhan menyebabkan jambatan itu tidak dapat dilalui sebarang kenderaan lain.

    Seramai 100 orang penghuni rumah panjang 25 pintu berkenaan terjejas selepas kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi kelmarin.

    Lori berkenaan dikatakan dalam perjalanan menghantar bancuhan simen bagi melaksanakan projek wifi di kawasan tersebut.

    “Kami tiada pilihan selain mengharapkan pihak berwajib untuk membantu kami dalam menyelesaikan masalah yang berlaku secepat mungkin,” lapor akhbar tersebut.-Sarawakiana
  • No Comment to " Penduduk Rumah Panjang Rayu Percepat Bina Jambatan "