• Penduduk Bau 'Dihantui' Gangguan Bekalan Air

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+
    Gambar Hiasan
    KUCHING: Tangki simpanan air di Seringgok yang hampir kosong dipercayai sebagai punca beberapa kawasan di Bau mengalami masalah gangguan bekalan air.

    Bukan hanya kawasan perkampungan, pejabat Majlis Daerah Bau dan premis perniagaan turut terjejas dan mengalami masalah sama.

    Malah menurut Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Boniface Willy Tumek, beberapa hari lepas penduduk Kampung Apar turut mengadu mengenai tekanan air rendah yang berlarutan selama empat hari.

    “Nampaknya, paras air dalam tangki penyimpanan tidak dipantau dengan teliti,” katanya.

    Beliau menyifatkan masalah bekalan air yang tidak menentu itu adalah berpunca daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) yang gagal dalam menguruskan sistem bekalan air dengan cekap.

    Katanya, sebelum ini pengurusan bekalan air di Bau adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) namun telah diambil alih oleh JBALB.

    “Penduduk di Bau berharap di bawah pengurusan JBALB akan membawa kepada pengurusan sistem bekalan yang lebih cekap tetapi malangnya keadaan menjadi tidak bertambah baik,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, antara faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah perubahan yang dibuat pada tangki simpanan, untuk memudahkan JBALB bertindak balas terhadap kecemasan seperti paip pecah, injap paip rosak dan mengawasi paras air dalam tangki.-Sarawakiana

  • No Comment to " Penduduk Bau 'Dihantui' Gangguan Bekalan Air "