• Pendigitalan Aset Dan Operasi Polis

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kamera litar tertutup (CCTV) pengesanan automatik definisi tinggi akan dipasang di 200 kawasan panas dalam usaha meningkatkan sistem pendigitalan aset dan operasi polis merangkumi elemen pencegahan, pembanterasan dan pendakwaan jenayah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri, berkata sistem canggih itu akan dilaksanakan secara meluas khususnya di kawasan panas dalam tempoh dua tahun sebaik kelulusan diperoleh daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang meneliti daripada aspek penggunaan teknologi dan pakej kewangan.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata CCTV berdefinisi tinggi itu akan mampu menjejaki penjenayah dengan lebih cekap dan cepat berbanding CCTV biasa.

    Katanya, ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan keberhasilan pembuktian konsep (POC) terhadap sistem yang dicuba di beberapa lokasi dalam tempoh dua bulan dihasilkan PDRM.

    "Dalam tempoh 24 bulan, kita akan dapatkan kelulusan (PEMANDU) melakukan pemasangan, melaksanakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kompleks perniagaan dan agensi penguatkuasaan supaya aset dan peralatan tidak hanya digunakan oleh satu pihak, jabatan atau agensi sebaliknya boleh dikongsi bersama.

    "Penggunaan aset pada perkakasan harus bermula selepas keputusan muktamad diperoleh hasil laporan POC," katanya selepas menyampaikan ucaptama Hari Inovasi Huawei Asia Pasifik (APIC) 2017 di sini, hari ini.

    Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

    Kawasan panas itu merangkumi kategori kawasan pelakuan jenayah yang kerap, kawasan yang menjadi pusat pengedaran dan penagihan dadah serta kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem pendigitalan aset dan operasi PDRM adalah antara usaha kerajaan mengurangkan kadar jenayah hingga 53.2 peratus yang ketika ini berada pada kadar 40 peratus.

    Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, teknologi baharu seperti penggunaan CCTV definisi tinggi, pusat arahan dan sistem komunikasi polis yang canggih perlu diperluaskan.

    Beliau berkata, MIMOS serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Negara dalam ICT bekerjasama dengan Huawei untuk membangunkan sistem analisa wajah video yang canggih.

    September lalu, Huawei Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MIMOS, pusat penyelidikan dan pembangunan negara dalam ICT, bagi mengenal pasti penyelesaian pintar berkaitan dengan keselamatan awam dan projek bandar pintar.

    Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan majlis pertukaran MoU antara Ahmad Razif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Abraham Liu.

    MoU antara Huawei Malaysia dan Terengganu untuk merangka bersama hala tuju transformasi digital, sekali gus membawa teknologi digital terkini serta penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ke negeri itu.

    Ahmad Zahid turut menyaksikan tiga lagi MoU iaitu antara Huawei dengan CyberSecurity Malaysia; Huawei Malaysia dengan Universiti Malaysia Sabah dan Huawei Technologies dengan SME Corp. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pendigitalan Aset Dan Operasi Polis "