• Pencuri tersangkut di lubang asap

    Published: Saturday, 4 November 2017
    A- A+

    Birmingham: Cara bodoh seorang pencuri untuk menceroboh sebuah restoran menjadi bahan jenaka selepas dia tersangkut selama tujuh jam di dalam lubang asap premis berkenaan.

    Lelaki itu merangkak menerusi lubang asap itu pada jam 2 pagi (waktu tempatan), namun kemudian dia sedar ia adalah satu tindakan bodoh apabila dia tersangkut.

    Dia bernasib baik apabila orang awam melihat kakinya terjuntai dari luar restoran beberapa jam kemudian sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

    Seorang pegawai polis, Matthew Willocks yang berada di tempat kejadian turut mengambil gambar lelaki itu sebelum memuat naik di Twitter.

    Lelaki itu akhirnya berjaya dikeluarkan daripada lubang asap di bahagian dapur oleh anggota bomba Handsworth.

    Polis West Midlands berkata, lelaki berusia 45 tahun dari Handsworth itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan ditahan kerana dipercayai cuba mencuri.

    Kejadian itu ternyata menjadi bahan jenaka kepada pengguna laman sosial yang menyifatkan tindakan lelaki itu amat melucukan.

    “Saya cuba sedaya upaya untuk menahan gelak tetapi gagal,” kata seorang pengguna Twitter, Judith Broug.
    - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Pencuri tersangkut di lubang asap "