• Pencuci Kereta Didakwa Bunuh Robiatul Ain

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    TEMERLOH: Seorang pencuci kereta, Iskandar Zulkarnain Zolkifly, 26, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian sepupunya, Robiatul Ain Mohamod, 27, di Taman Temerloh Makmur di sini, bulan lalu.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara jam 8.30 malam hingga 9 malam pada 21 Oktober lalu.

    Pada prosiding hari ini, pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Irmawathy Mohamad Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Najwa menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula dan tiada ikat jamin ditetapkan.

    Namun, pada prosiding sama, Iskandar Zulkarnain mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis morfin dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada 22 Oktober lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Mengikut laporan media, Robiatul Ain maut selepas ditikam pada muka serta bahu dan ditemui tertiarap dengan kesan tikaman di ruang tamu rumahnya selepas dipercayai bertengkar dengan Iskandar Zulkarnain.

    Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui senjata yang dipercayai digunakan tertuduh dalam kejadian iaitu sebilah pisau dan gunting.

    Siasatan awal mendapati pertengkaran dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati tertuduh yang didakwa mencuri dan menagih dadah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pencuci Kereta Didakwa Bunuh Robiatul Ain "