• Pemimpin Tertinggi Daesh Naik Teksi Lari Ke Syria?

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+


    BAGHDAD – Mungkin agak lucu dan aneh namun perkhidmatan perisikan Iraq mengesahkan pemimpin tertinggi Daesh, Abu Bakar al-Baghdadi berjaya melarikan diri dengan teksi ke Syria.

    Berita pelik itu dilaporkan agensi berita tempatan, Iraqi Media News yang memetik sumber perisikan kebangsaan dan mengakui khalifah kumpulan pengganas berkenaan hanya menumpang sebuah teksi biasa berwarna kuning.

    “Setelah pasukan keselamatan Iraq menyerang Qaim, Abu Bakar yang menyedari nyawanya bakal terancam jika tetap berada di kota itu bertindak pantas meloloskan dirinya,” kata wartawan agensi tersebut, Nehal Mostafa.

    Biarpun sudah meninggalkan Qaim, kira-kira 368 kilometer dari ibu kota Baghdad, Abu Bakar dilaporkan telah memerintahkan saki baki pengikutnya untuk tetap bertempur bagi mengaburi ‘mata’ pihak keselamatan kerajaan.

    “Dalam sebuah teksi berwarna kuning, Abu Bakar secara senyap berjaya meninggalkan Iraq menuju ke Syria. Dia kemungkinan besar sudah berada di Deir al-Zor, Syria,” ujarnya yang memetik sumber perisikan tersebut.

    Bandar kecil itu terletak hanya 132 kilometer dari Qaim atau hampir dua jam perjalanan dengan pemanduan kereta. Deir al-Zour juga kira-kira 478 kilometer sahaja dari ibu negara Syria, Damsyik atau enam jam memandu kereta.

    “Pemimpin atasan Daesh itu dikatakan bijak menumpang teksi berwarna kuning yang lazim digunakan penduduk awam untuk mengelak perasaan curiga daripada pihak kawalan keselamatan Iraq sendiri,” tambah sumber tersebut.

    Bulan lalu, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) atau Pentagon yakin Abu Bakar masih hidup susulan tinjauan perisikan mendapati beliau terselamat di sebalik kejatuhan Mosul yang pernah diisytiharkan sebagai ibu kota Daesh.

    Jurucakap Pentagon, Eric Pahon yang dipetik agensi berita Anadolu Turki melaporkan bahawa ejen perisikan AS mengesahkan suara Abu Bakar ada dalam satu mesej rakaman audio terbaharu yang tersebar luas sebelumnya.

    Abu Bakar, 45, sudah beberapa kali dilaporkan terbunuh termasuk oleh serangan udara tentera Rusia di Raqqa, Syria pada 17 Jun lalu tetapi kemudian dinafikan oleh Pentagon kerana tiada bukti mayat tokoh Daesh itu ditemui.

    Laman sesawang Daesh dan rangkaian media sosialnya termasuk agensi berita rasmi Amaq juga tidak pernah membawa sebarang khabar duka mengenai laporan kematian ketuanya itu yang berasal dari Samarra, Iraq.

    Daesh yang cuba bertahan untuk melindungi wilayah dikuasainya di sekitar Syria dan Iraq, kini tertekan malah kawasan takluknya semakin mengecil apabila tentera kerajaan Iraq berjaya menawan semula Mosul pada 30 Jun.

    Abu Bakr atau nama sebenarnya Ibrahim Awad Ibrahim al-Badri, asalnya keluar daripada kumpulan militan al-Qaeda pada 2013, dua tahun selepas ketua rangkaian itu, Osama Laden berjaya dibunuh tentera AS di Pakistan.

    Allahyarham pernah ditahan oleh tentera AS di Iraq pada 2004 sebelum dibebaskan setahun kemudian. Ramai penganalisis antarabangsa percaya beliau dilatih Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk membentuk Daesh pada 2008.

    Perkara rahsia itu turut didedahkan bekas pakar komputer CIA, Edward Snowden yang mendakwa Daesh asalnya diwujudkan demi menjaga kepentingan Israel dan langsung tidak pernah menyerang negara haram Yahudi tersebut.

    Ia sengaja menggunakan nama Islam bagi menarik ribuan anak muda Muslim yang jahil agama dari seluruh dunia konon berjihad menentang kafir dan menegakkan sistem pemerintahan khalifah. – Agensi/Mynewshub.cc

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Tertinggi Daesh Naik Teksi Lari Ke Syria? "