• Pemimpin Tentera Digesa Lindungi Wanita, Kanak-Kanak

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    VANCOUVER – Bintang terkenal Hollywood, Angelina Jolie menyeru pemimpin tentera dan pejuang keamanan meningkatkan usaha melindungi golongan wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia daripada menjadi mangsa keganasan seksual, lapor agensi berita Xinhua.

    Jolie merupakan wakil khas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian dan juga pengasas bersama Preventing Sexual Violence Initiative.

    Beliau kini berada di Vancouver, untuk berucap pada persidangan misi pengaman PBB, yang disertai kira-kira 60 Menteri Pertahanan dan ratusan perwakilan.

    “Keganasan seksual terus digunakan sebagai sebahagian daripada taktik perang di 19 buah negara dan juga sebagai satu bentuk penyeksaan serta pembersihan etnik,” katanya.

    Lebih menyedihkan katanya, apabila golongan wanita dan kanak-kanak terus menjadi mangsa korban perang paling ramai.
    “Tiada yang lebih keji apabila seorang anggota berpakaian seragam sepatutnya menjadi harapan rakyat sebagai pelindung sebaliknya mereka yang menjadi perosak,” katanya.

    Jolie berkata, meskipun sejak berdekad lamanya resolusi dan ikrar PBB, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB masih tidak cukup serta mampu melindungi wanita dan kanak-kanak.

    “Kita perlu tanya, selepas bertahun lamanya, mana perginya semua undang-undang dan resolusi itu, dan di sebalik semua kengerian yang perlu dilalui, wanita masih terpaksa mendapatkan perkara paling asas untuk memperolehi hak untuk hidup bebas daripada keganasan? ”

    “Keganasan seksual tidak boleh lagi dianggap sebagai jenayah ringan dan masyarakat antarabangsa tidak boleh beranggapan tiada apa yang dapat dilakukan lagi mengenai jenayah seksual,” kata Jolie.

    Jelas pelakon popular itu, meskipun sukar namun, ia tidak mustahil.

    “Kita ada undang-undang, institusi, kepakaran dalam mengumpul bukti, kita boleh mengenal pasti pelaku yang bertanggungjawab. Apa yang hilang ialah kuasa politik,” tegasnya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Tentera Digesa Lindungi Wanita, Kanak-Kanak "