• Pemimpin Penyangak Mungkin Rujuk Tun M - Zuhdi

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengenai `pemimpin penyangak' dalam gabungan pakatan pembangkang diterajui DAP dipercayai merujuk kepada lingkaran kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kuncunya.

    Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata ia bersandarkan kepada tindakan dan kenyataan beberapa kepemimpinan utama parti pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu sepanjang PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR sama ada dalam Barisan Alternatif (BA) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

    Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata kenyataan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu bersifat umum dan sukar untuk menentukan golongan yang dimaksudkan.

    Bagaimanapun, katanya sepanjang PAS berada bersama-sama PKR dan DAP, pembongkaran oleh Anwar, Kit Siang, Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu dan pemimpin lain jelas membuktikan serangan mereka ditujukan kepada Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan lingkaran pemimpin berkenaan.

    "Ketika di dalam BA dan PR, golongan yang dianggap seumpama `penyangak' oleh Anwar, Kit Siang dan Mat Sabu ialah mereka yang berada dalam lingkaran ini, iaitu sebahagian golongan yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

    "Ucapan dan tulisan pimpinan Barisan Alternatif dan pakatan rakyat ditujukan kepada Dr Mahathir, Daim dan kroni mereka. Oleh itu berdasarkan kepada ucapan dan tulisan Anwar, Kit Siang dan Mat Sabu yang boleh diakses di dunia maya sampai ke hari ini, boleh jadi karakter `penyangak' itu merujuk kepada lingkaran Dr Mahathir," katanya.

    Semalam, Abdul Hadi menegaskan partinya tidak boleh bersama gabungan pakatan pembangkang kerana didalamnya ada pemimpin penyangak dan yakin PAS yang dipimpinnya ketika ini lebih selesa untuk menjadi pihak yang berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Penyangak Mungkin Rujuk Tun M - Zuhdi "