• Pemimpin Akar Umbi Perlu Prihatin Keselamatan Kampung

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kepimpinan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai perlu bertindak menjaga keselamatan perkampungan masing-masing dan tidak menyerahkan bulat-bulat aspek tersebut kepada agensi kerajaan, kata Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi.

    Beliau berkata, jika keadaan mendesak atau tidak terkawal barulah meminta bantuan daripada agensi keselamatan.

    Malah menurutnya, kepimpinan kampung juga perlu sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar perancangan sewajarnya dapat diaturkan bagi meningkatkan keselamatan kampung.

    "Jangan hanya menyerahkan bulat-bulat kepada agensi berkaitan membabitkan aspek keselamatan, kepimpinan kampung harus memainkan peranan yang penting untuk bersama-sama menjaga kampung.

    "Jika keadaan sudah tidak terkawal barulah kita memohon bantuan agensi keselamatan,' katanya berucap semasa Program Y-Centre, UTC, NBOS Prihatin di sini, hari ini.

    Program dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Sourabaya Ulu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Sourabaya Ulu dan Surau Darul Mutaqqin.

    Pemgisian program termasuk senamrobik, gotong-royong, ceramah AADK dan PDRM serta sesi dialog tentang ancaman dadah dan kedelamatan bersama penduduk kampung.

    Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, keselamatan, kecantikan dan kesihatan penduduk kampung harus dijaga agar masyarakat dapat terus hidup dalam keadaan harmoni.

    Selain itu jelasnya, kepimpinan kampung perlu mengikut peredaran masa termasuk mengadakan aktiviti melibatkan belia dan remaja terutama ketika cuti sekolah.

    "Kepimpinan pelbagai pertubuhan di setiap kampung disaran mengadakan program bersama kerana tumpuan kita adalah untuk mencapai atau mendapat manfaat untuk generasi muda kita.

    "Pastikan anak muda kita mempunyai benteng jati diri supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral yang banyak dibawa ke kampung-kampung kita," ujarnya.

    Hadir sama Pengarah JBS Sarawak Mohd Nizam, Ketua Unit Kereta Peronda IPD Kuching,Ketua AADK Daerah Kuching, Pengerusi JKKK Kampung Sourabaya Ulu Nazri Abdul Rahman.-Sarawakiana
  • No Comment to " Pemimpin Akar Umbi Perlu Prihatin Keselamatan Kampung "