• Pemilik Tanah Penduduk Diiktiraf, Bukti Kerajaan Tidak Rampas Tanah

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+
    Penerima surat pengesahan tanah di Kanowit. - Foto : Utusan Borneo 
    Kerajaan negeri telah mengiktiraf pemilikan projek usaha sama tanah kelapa sawit yang pertama di Kanowit menerusi surat pengesahan tanah (Land Confirmation Letter) oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata, projek usaha sama ini merupakan projek perintis di Sarawak di bawah Boustead Pelita Kanowit Sdn Bhd dikenali sebagai projek Blok B dan D Kanowit.

    "Kini penduduk boleh menarik nafas lega selepas pemilikan tanah mereka diiktiraf.

    “Dokumen ini menjamin aset pemilik tanah sekiranya pemilikan tanah mereka dipertikaikan pada masa akan datang,” katanya.

    Alexander menambah, ini adalah bukti kerajaan tidak merampas tanah mereka.

    Menurut Alexander, sebelum ini penduduk menolak projek berkenaan kerana beranggapan kerajaan mahu merampas tanah mereka namun sejumlah RM58.759 juta dividen dan bayaran pendahuluan telah dibayar kepada mereka sehingga 30 Oktober tahun ini.

    “Sekarang ramai menyedari bagaimana projek itu memberi manfaat kepada mereka dalam meningkatkan ekonomi.

    “Saya percaya projek ini membawa banyak perkembangan baik kepada peserta dan Kanowit secara umum dalam tempoh 20 tahun selepas bermula,” ujarnya.. - Sarawakiana
  • No Comment to " Pemilik Tanah Penduduk Diiktiraf, Bukti Kerajaan Tidak Rampas Tanah "