• Pemilik pasar raya disamun, dibunuh

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+


    IPOH: Seorang pemilik pasar raya ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul oleh sekumpulan perompak sebelum melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM80,000 di tingkat atas sebuah pasar raya di Pusat Perdagangan Jelapang, di sini awal pagi tadi.

    Mangsa, Sem Ah Yem, 69, ditemui mati oleh anak keduanya dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta kecederaan parah di kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan senjata tumpul pada jam 7.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tambi, berkata polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada anak mangsa berumur lingkungan usia 20an yang menemui mayat ayahnya dalam sebuah bilik tingkat atas premis terbabit.

    "Ketika kejadian, mangsa dipercayai tidur berseorangan di salah sebuah bilik di tingkat atas dan tinggal berasingan daripada keluarga sejak tujuh tahun lalu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi ini.

    Mohd Ali berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sekumpulan suspek dipercayai memasuki premis dengan memanjat dinding belakang sebelum naik ke bumbung dan turun dari siling ke tingkat atas menggunakan tali.

    Katanya, suspek kemudian turun ke tingkat bawah premis yang juga pasar raya menggunakan sembilan lot kedai dan memasuki sebuah bilik dipercayai pejabat mangsa.

    "Dalam pejabat itu, suspek bertindak menebuk belakang peti besi menggunakan gerudi sebelum melarikan wang kertas berjumlah antara RM70,000 hingga RM80,000.

    "Polis turut menemui sebatang besi dianggarkan satu meter panjang yang mempunyai kesan darah di lokasi kejadian," katanya.

    Mohd Ali berkata, pihaknya menggunakan perkhidmatan pakar patologi dan Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi kejadian bagi mengesan suspek.

    "Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat 30 kamera litar tertutup (CCTV) dalam pasar raya itu, namun CCTV itu hanya menayangkan gambar tetapi tidak melakukan rakaman.

    "Bagaimanapun, ada beberapa CCTV di bangunan berdekatan dan kita akan periksa rakaman itu.

    "Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pemilik pasar raya disamun, dibunuh "