• Pembukaan Apostolic Nuncio tingkatkan hubungan Malaysia-Holy See

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Pembukaan Residen Tetap dan Canseridi Malaysia akan memberi dorongan kepada usaha untuk meningkatkan hubungan Malaysia dan Holy See ke tahap lebih tinggi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    "Selain membolehkan usaha kolektif selanjutnya ke arah membangunkan keamanan global, kita kini mempunyai platform penting ungtuk meningkatkan bidang-bidang kerjasama dua hala yang lain seperti bidang pendidikan," kata beliau pada majlis pembukaan di sini malam ini.

    Reezal Merican, bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga mengucapkan tahniah kepada Pengganti Sekretariat Negara dan Wakil Pope Francis, Archbishop Angelo Becciu dan Apostolic Nuncio, Duta "Extraordinary and Plenipotentiary" Holy See ke Malaysia, Joseph Marino.

    Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Holy See, Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

    Reezal Marican berkata enam tahun lepas, pada 27 Julai , 2011, kerajaan Malaysia mengambil langkah positif menjalin hubungan diplomatik dan sejak itu hubungan antara kedua-dua negara telah menyaksikan perkembangan positif berdasarkan saling menghormati, persefahaman berteraskan hasrat bersama untuk memupuk keamanan dan keselamatan global.

    "Komitmen Perdana Menteri (Najib) untuk menjalin hubungan yang lebih erat dengan Holy See menyaksikan Malaysia membuka Kedutaannya ke Holy See pada Mac 2016. Duta Besar Malaysia ke Holy See (Bernard Dompok) tiba di Rome pada April 2016 dan menyerahkan watikah pelantikannya kepada Pope Francis pada 9 Jun, 2016.

    "Satu lagi peristiwa pentingh dalam hubungan kita ialah lawatan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Holy See, dan semasa lawatan, beliau merasmikan Kedutaan Malaysia ke Holy See pada Mei 2017. perkembangan penting dicapai dalam tempoh yang agak singkat dan ia tidak mungkin tercapai tanpa kesungguhan dan komitmen kerajaan Malaysia," kata beliau.

    Reezal Merican berkata Perdana Menteri Malaysia pernah menyatakan bahawa Malaysia komited untuk bekerjasama dengan Holy See untuk mempromosi kepentingan dan kesederhanaan dalam usaha memerangi kuasa-kuasa negatif.

    Beliau berkata Malaysia dengan sendirinya merangkumi maksud sebenar keharmonian dan bahawa hak setiap warganegara dan komuniti dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan termasuk hak untuk menganuti dan mengamalkan agama.

    "Perlindungan Perlembagaan ini bersama-sama komitmen pemimpin kita dalam memastikan hubungan kaum yang sangat baik, telah mewujudkan sebuah negara terdiri daripada rakyat berbilang budaya yang hidup secara aman dibawah satu bumbung. Kewujudan bersama ini membolehkan Malaysia membangun dan berkembang maju seperti sekarang," kata beliau.

    Beliau berkata Malaysia mempunyai komuniti katolik yang berkembang yang bersama-sama komuniti agama yang lain bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka sambil menambah kerajaan sentiasa komited untuk memelihara kesejahteraan setiap komuniti agama di negara ini termasuk katolik.

    "Berteraskan pengalaman kukuh dalam melindungi hak semua komuniti dan memupuk hubungan antarag agama yang positif, Perdana Menteri telah memperkenalkan pendekatan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang menekankan amalan kesederhanaan sebagai elemen fundamental untuk memupuk integrasi yang lebih erat memastikan kewujudan bersama secara aman dengan menolak ekstemisme yang melemahkan nilai-nilai agama sejagat.

    "Kami percaya bahawa inisiatif GMM menyediakan platform penting untuk mempromosi dan menggalakkan persefahaman dan saling menghormati. kerajaan ini berminat untuk terus bekerjasama dengan Vatican bagi mempromosikan inisiatif ini," kata beliau. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pembukaan Apostolic Nuncio tingkatkan hubungan Malaysia-Holy See "