• Pembinaan poliklinik ATM, naik taraf RKAT dipercepat

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR – Projek pembinaan poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) akan dipercepatkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata kabinet telah bersetuju untuk menyegerakan kedua-dua projek itu selepas beliau membentangkan laporan perkembangannya di Parlimen hari ini.

    "Alhamdulillah, kabinet telah bersetuju untuk menyegerakan pelaksanaan kedua-dua projek tersebut.

    “Sesungguhnya, ia satu perkembangan yang amat melegakan, apatah lagi soal kebajikan anggota dan veteran ATM serta ahli keluarga mereka sememangnya amat dekat di hati saya, menjadi keutamaan tertinggi saya sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hishammuddin turut mengingatkan semua pihak termasuk pihak kontraktor dan kepimpinan ATM untuk tidak bersikap sambil lewa dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

    “Saya harap perkembangan ini memberi mesej jelas kepada pihak-pihak berkepentingan agar dapat melaksanakan projek ini dengan baik dan berkesan,” katanya.

    Pada 27 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan akan menyediakan pelan tindakan Perumahan Keluarga Angkatan Tentera dengan membina lebih 40,000 unit secara berfasa menjelang tahun 2030.

    Najib berkata sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran tentera. –Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pembinaan poliklinik ATM, naik taraf RKAT dipercepat "