• Pembinaan Kem Tentera Adalah Keperluan Strategik Bukan Politik

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Keputusan pembinaan kem tentera di kawasan tertentu adalah satu keperluan strategik demi keselamatan dan kepentingan negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

    Sehubungan itu beliau meminta isu tersebut tidak dipolitikkan kononnya kem tentera dibina untuk tujuan politik.

    “Dakwaan mereka (tentera) didaftarkan sebagai pengundi di sebuah kem tentera yang masih dalam pembinaan juga adalah tidak betul, anggota kita hanya akan berpindah ke dalam kem setelah kem itu siap.

    “Jika betul pasti Barisan Nasional (BN) sudah menang di Parlimen Teluk Kemang dan Lumut pada Pilihan Raya Umum 2013, kerana kedua-dua kawasan itu mempunyai kem tentera,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menyangkal dakwaan Anthony Loke (DAP-Seremban) yang mencelah semasa penggulungan dan menuduh kerajaan bermotif politik apabila membuat perancangan untuk membina sebuah kem tentera di Segamat.

    Mengulas lanjut Johari berkata terdapat keperluan untuk pasukan tentera berada di kawasan tertentu walaupun kem mereka masih dalam pembinaan.

    “Sebagai contoh, tentera Rejimen Sempadan perlu berada di sempadan negara walaupun kawasan itu tidak mempunyai kem tentera, namun atas sebab-sebab tertentu mereka perlu berada di sana,” katanya.

    RUU Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu diluluskan selepas dibahaskan 10 anggota parlimen.

    Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pembinaan Kem Tentera Adalah Keperluan Strategik Bukan Politik "