• Pemberian Tablet Kepada Guru Selesai Tahun Depan

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Pengagihan tablet percuma untuk dijadikan alat bantuan mengajar bagi keperluan 430,000 guru di seluruh negara akan diselesaikan sebelum Jun tahun depan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

    Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata sehingga ini sebanyak 182,712 unit tablet itu yang bernilai RM152 juta telah diagihkan kepada guru-guru di beberapa negeri iaitu Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Selangor dan Perak.

    “Pemberian tablet bantuan mengajar ini bertujuan membantu guru mengakses pangkalan data soalan dan memudahkan mereka menyediakan latihan kepada murid-murid dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran,” katanya menjawab soalan tambahan Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) yang bertanya bila pembahagian tablet untuk guru dapat diselesaikan.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai liputan jalur lebar di sekolah-sekolah terutamanya di kawasan pedalaman, Kamalanathan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam mencari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah tersebut.

    Kepada soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai peratusan jenis buku paling laris di pasaran, Kamalanathan berkata pada tahun lalu, buku dalam bidang bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menduduki tangga pertama dengan jualan sebanyak 46.04 peratus.

    “Ia diikuti bidang sastera, iaitu bidang kedua terlaris sebanyak 26.45 peratus, bidang agama 5.04 peratus, kesihatan 4.79 peratus dan pertanian 4.52 peratus… kelima-lima bidang ini memang popular dan mendapat permintaan masyarakat.

    “Selain DBP, Institut Penterjemahan dan Buku Malaysia (IBTM) turut meneribitkan karya daripada 523 penulis tempatan bermula 2012 dan sehingga kini IBTM mempunyai 2,300 penterjemah yang mana hanya 500 daripadanya yang aktif,” katanya.

    Kamalanathan berkata pelbagai usaha kini dilaksanakan untuk meningkatkan bilangan penterjemah dalam negara terutamanya dalam bidang kritikal seperti perubatan dan teknologi komunikasi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemberian Tablet Kepada Guru Selesai Tahun Depan "