• Pembangunan Sarawak Guna Teknologi Digital - Abg Jo

    Published: Saturday, 18 November 2017
    A- A+

    KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau amat berminat dengan teknologi digital kerana ia merupakan satu daripada cara terbaik untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi.

     Katanya beliau memberi tumpuan kepada ekonomi digital kerana ia dapat mewujudkan pekerjaan baik untuk golongan muda selain meningkatkan peluang ekonomi bagi usahawan dan perniagaan.

    "Saya bukanlah hendak menunjuk yang saya cekap teknologi seperti yang didakwa oleh Anggota Pelawan, tetapi kita tiada pilihan lain kecuali terus bergerak ke hadapan.

    "Saya tahu Thailand, Indonesia dan Vietnam memilih cara ini. Jika kita tidak cukup berani, kita akan ketinggalan dan kemungkinan ditelan oleh teknologi dan aplikasi ICT jiran-jiran kita," katanya dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

    Beliau berkata negeri itu turut mencatatkan kemajuan yang baik berhubung pembangunan ekonomi digital.

    "Kini kita tahu bahawa pembentukan ekonomi digital adalah tentang mewujudkan cara hidup baharu yang lebih baik dan efisien untuk rakyat Sarawak. Dengan menjimatkan masa dan wang, rakyat Sarawak boleh hidup sebagai masyarakat yang efisien," katanya.

    Abang Johari berkata kerajaan digital dibina sekitar konsep identiti digital setiap warganegara dengan maklumat peribadi yang berkaitan dengan warganegara berkenaan dirakam, disimpan dan diperoleh semula dalam bentuk digital.

    "Kerajaan digital adalah platform perkhidmatan digital yang dibina oleh kerajaan di mana semua maklumat peribadi digital warganegara boleh diambil oleh individu berkenaan bagi memastikan maklumatnya betul dan disimpan dalam persekitaran yang terjamin," katanya. Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri sedang membangunkan satu platform ID yang mungkin dinamakan sebagai Sarawak ID. -BERNAMA
  • No Comment to " Pembangunan Sarawak Guna Teknologi Digital - Abg Jo "