• Pembangkang Tidak Boleh Terima Kekalahan - Azalina

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Keputusan undi belah bahagi bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) malam tadi, membuktikan sistem demokrasi Dewan Rakyat terus subur.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata anggaran perbelanjaan bagi kementerian berkenaan yang diluluskan dengan majoriti mudah, tidak sepatutnya dipolitikkan walaupun pembangkang cuba menggagalkan RUU melalui undian belah bahagi.


    "Pembangkang dilihat seperti tidak boleh menerima keputusan itu apabila menimbulkan kekecohan dalam dewan walaupun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan keputusan berkenaan.

    "Ahli Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses ini dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

    "Saya percaya semua Ahli Parlimen akan terus menjaga nama baik dewan yang mulia ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Malam tadi, anggaran perbelanjaan bagi KPDNKK diluluskan dengan majoriti mudah apabila 52 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 51 tidak bersetuju dan dua lagi berkecuali.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dilaporkan berkata, tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang menghalang wakil rakyat lewat memasuki dewan untuk menyertai proses pengundian.

    Beliau berkata, penelitian terhadap Peraturan Mesyuarat 41, 42 dan 43 mendapati tiada pelanggaran berlaku ketika proses pengundian belah bahagi untuk meluluskan kepala bekalan dan pembangunan B25/P25 KPDNKK. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Tidak Boleh Terima Kekalahan - Azalina "