• Pembangkang 'Kuchalana' - Najib

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, parti UMNO semakin kukuh berbanding pembangkang yang keadaannya 'kuchalana' atau berserabut.

    Presiden UMNO itu berkata, ia sekali gus membolehkan parti menerusi Biro Kebajikannya memberi tumpuan penuh dalam usah membantu rakyat di seluruh negara terutama di luar bandar.

    Perdana Menteri berkata, biarkan mereka (pembangkang) dalam keadaan 'kuchalana' tetapi UMNO tetap kukuh dan sentiasa membantu rakyat semua lapisan masyarakat.

    "Apabila UMNO kuat dan relevan maka ia juga akan membantu mengukuhkan ekonomi, meningkatkan hasil negara seterusnya lebih ramai rakyat akan dapat dibantu.

    "Dalam Bajet 2018 yang saya bentangkan baru-baru ini, kita akan agihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada tujuh juta penerima termasuk keluarga miskin, pekebun, petani, nelayan dan Orang Kurang Upaya (OKU).

    "Kerajaan turut menyediakan peruntukan besar kepada pembangunan luar bandar," katanya.

    Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika melancarkan Program UMNO Bantu Rakyat Fasa 2 dan Jom Simpan Bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Masjid Kampung Tanjung Medang, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

    Seramai 3,163 murid Tahun Satu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) daripada 55 sekolah di Parlimen Pekan menerima sumbangan deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM316,300.

    Setiap murid menerima sumbangan RM100 daripada PTPTN dan RM50 tambahan yang diberi kerajaan sebagai insentif khas Geran Sepadan.

    Pada majlis itu, Biro Kebajikan UMNO turut mengagihkan 2,000 kit sumbangan kepada keluarga miskin. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang 'Kuchalana' - Najib "