• Pelantikan Jessica Tradisi BNM – Muhammad

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR- Pelantikan Jessica Chew Cheng Lian sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) memperlihatkan tradisi bank itu sebagai sebuah institusi yang menyediakan peluang sama rata kepada setiap orang untuk terus berjaya.

    Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata ini merupakan satu tradisi yang dibangga dan didukung oleh BNM sejajar dengan pengiktirafan meritnya dan penggalakan kepelbagaian dalam budaya kerjanya.

    “Marilah kita mengalu-alukan dan memberi sokongan penuh kepada Jessica sebagai Timbalan Gabenor baharu, seperti mana kita berikan sokongan kepada yang lain, dan berharapkan yang terbaik kepada beliau dalam menggalas jawatan baharunya,” kata Muhammad dalam satu emel dalaman yang dikeluarkan kepada kakitangan BNM semalam.

    Chew akan menyandang jawatan tersebut berkuat kuasa 1 Jan, 2018, berikutan persaraan Dr. Sukhdave Singh sebagai Timbalan Gabenor pada 31 Dis, 2017.

    Muhammad berkata sebagai sebuah institusi yang memegang amanah awam, adalah penting bagi BNM untuk bergerak seiring dengan pemikiran dan perkembangan terkini agar ia boleh berkhidmat kepada negara dengan penuh integriti, profesionalisme dan meletakkan kepentingan negara dihadapan.

    “Saya ingin menekankan bahawa kepentingan negara dan organisasi adalah amat penting. Ia perlu diberi keutamaan berbanding pertimbangan lain. Bebanan kepimpinan tidak boleh diambil ringan,” katanya.

    Muhammad berkata tanggungjawab kepimpinan BNM adalah untuk melaksanakan mandat bank pusat bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

    Beliau melahirkan keyakinan tenaga kerja berdedikasi BNM akan membawa institusi itu ke takuk yang lebih tinggi dan memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan negara, masyarakat, dan generasi akan datang Malaysia.

    “Ketika kita memasuki era pembangunan negara yang menerujakan, marilah kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan, yakin dan bertekad, dan menumpukan apa yang kita ada kepada kebaikan masyarakat kita,” katanya.

    Muhammad juga mengucapkan selamat tinggi kepada rakan sekerjanya Dr Sukhdave Singh dan berharapkan yang terbaik dalam apa juga bidang yang akan diceburinya pada masa depan.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pelantikan Jessica Tradisi BNM – Muhammad "