• Pelancong Terkandas Di Bali Mula Pulang

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+


    KARANGASEM, Bali: Syarikat penerbangan menawarkan penerbangan tambahan ke Bali hari ini, untuk membolehkan ribuan penumpang yang terkandas akibat letusan Gunung Agung pulang, ketika arah tiupan abu gunung berapi itu beralih dari lapangan terbang.

    Sebahagian daripada Gunung Agung dilitupi awan hari ini, dengan beberapa kawasan di Bali dilanda hujan monsun, namun pihak berkuasa berkata, gegaran berterusan masih dikesan di kawah gunung berapi itu.

    "Gunung Agung terus meletus dengan mengeluarkan abu gunung berapi sehingga altitud 2,000 meter," kata jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho menerusi Twitter.

    Awal minggu ini, Gunung Agung mengeluarkan letusan serpihan batu sehingga mencapai jarak empat kilometer.

    Lapangan terbang Bali yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Gunung Agung dibuka tengah hari semalam selepas amaran penerbangan diturunkan kepada satu tahap di bawah paras serius dengan arah tiupan angin lebih baik. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Pelancong Terkandas Di Bali Mula Pulang "