• Pelakon Mengaku Ditahan Atas Kesalahan Dadah

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    Pelakon Nadzmi Adhwa mengakui dia adalah pelakon yang ditahan polis akibat kesalahan dadah di Jalan Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat lalu.

    Nadzmi, 25, dalam satu kenyataan melalui syarikat pengurusannya, Mindorder Sdn Bhd mendakwa, dia terperangkap sehingga ditahan kerana terlalu mempercayai rakan baik.

    "Selepas ditahan, baru saya tahu rakan saya itu sudah lama dalam pemerhatian polis atas kesalahan memiliki ganja. Nasib tidak menyebelahi saya kerana turut ada bersama ketika polis menahannya.

    "Kesilapan saya kerana terlalu mempercayai rakan dan terpengaruh. Pengalaman ditahan polis memberi banyak pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati dalam memilih kawan,” katanya.

    Nadzmi berkata, dia yakin tidak bersalah dalam perkara ini dan sudah pun dibebaskan tidak sampai 24 jam selepas ditahan.

    "Saya memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan tidak mahu mengulangi kesilapan sama lagi," katanya.

    Harian Metro hari ini melaporkan pelakon drama Hati Perempuan itu ditahan bersama rakan dan adiknya ketika menaiki kereta jenis Honda Jazz.

    Mereka ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju berhampiran sebuah stesen minyak selepas curiga dengan tindak-tanduk mereka.

    Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki, polis menemui satu tin berisi daun ganja dan ganja mampat disembunyikan di tempat duduk belakang pemandu.

    Turut ditemui botol lut sinar yang diubah suai dipercayai alatan dapur untuk menghisap ganja.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelakon Mengaku Ditahan Atas Kesalahan Dadah "