• Pelajar Mengaku Miliki Bom

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    Pelajar lelaki tingkatan enam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan memiliki dua butir bom buatan sendiri dipercayai untuk digunakan bagi serangan di pesta arak 'Better Beer Festival 2017', Oktober lalu.

    Tertuduh, Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, yang juga calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman didakwa memiliki dua butir bom ‘improvised explosive device (IED)’ di rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, 6.05 petang, 10 Oktober 2017.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

    Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum.

    Tertuduh dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun turut berdepan empat pertuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas Daish.

    Bagi empat pertuduhan itu, remaja itu didakwa memiliki gambar, video dan dokumen; memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas; memberi latihan menerusi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas Daish.

    Bagi kesalahan berkenaan, dia dia didakwa masing-masing mengikut Seksyen Seksyen 130JB(1)(a), Seksyen 130JB(1)(b), 130F(a) dan Seksyen 130FB(1)(a).

    Sementara itu, di mahkamah yang sama, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, berdepan tiga pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 130FA (a) Kanun Keseksaan kerana menerima latihan pengganas melalui WhatsApp, Seksyen FB (1) (a) kerana hadir ke tempat latihan sebagai persediaan perbuatan pengganas dan Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan kerana memiliki 20 keping gambar, tiga video dan 16 naskah dokumen bentuk PDF dalam telefon bimbit.

    Manakala seorang lagi tertuduh, Mahadi Ibrahim, 34, menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 130FA (a) iaitu kerana menerima latihan pengganas melalui WhatsApp serta Seksyen 130FB (1) (a) kerana hadir di tempat latihan pengganas.

    Tiada keterangan direkodkan dan kedua-dua tertuduh yang hanya mengangguk faham.

    Pertuduhan membabitkan Seksyen 130F adalah pertama kali dituduh di negara ini.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor dan ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.

    Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan permohonan pemindahan bagi pertuduhan kumpulan Daish ke Mahkamah Putrajaya untuk dibicarakan serentak.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelajar Mengaku Miliki Bom "