• Pekerja Ladang Hilang Dipercayai Dibaham Buaya

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    LAHAD DATU - Seorang pekerja ladang hilang dipercayai dibaham buaya di sebatang sungai berhampiran kawasan ladang tempatnya bekerja, di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira 12.59 tengah hari itu, mangsa dilaporkan hilang selepas turun ke sungai berkenaan untuk memasang pukat.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada anak mangsa pada 4.49 petang tadi.

    "Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota bomba bergerak ke lokasi kejadian menggunakan sebuah kenderaan utiliti dan bot penyelamat.

    “Pasukan bomba mengambil maklumat dan melakukan tinjauan di tempat kejadian bagi membuat penilaian untuk meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa," menurut kenyataan itu.

    Maklumat mangsa belum dikenal pasti dan operasi mencari mangsa yang ditangguhkan petang tadi, akan disambung semula esok.

    - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pekerja Ladang Hilang Dipercayai Dibaham Buaya "