• Pekerja kilang didakwa rogol gadis bawah umur

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+


    IPOH: Seorang operator kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di Batu Gajah bulan lalu.

    Tertuduh, P Karunagaran, 20, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa merogol gadis berkenaan di sebuah rumah di Batu Gajah Perdana, Pusing dekat sini, pada jam 12.45 tengah malam pada 26 Oktober lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa di lokasi sama pada jam 2.30 pagi hari berikutnya.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam, R Rajasegaran.

    Terdahulu Naidatul Athirah memohon mahkamah supaya mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh iaitu masing-masing sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan adalah kesalahan serius dan membabitkan mangsa bawah umur.

    Bagaimanapun, Rajasegaran memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan yang rendah kerana penjamin adalah bapa tertuduh dan tinggal sekali selain tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 iaitu masing-masing RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pekerja kilang didakwa rogol gadis bawah umur "