• Pekerja Dapat Pekak Di Tempat Kerja

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Seramai 7,100 pekerja di seluruh negara direkodkan mengalami masalah hilang pendengaran berpunca di tempat kerja, sepanjang tahun lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kormain Mohd Noor, berkata daripada jumlah itu 3,600 pekerja direkodkan menghidapi pekak pelbagai peringkat.

    Katanya, mengikut statistik jumlah secara keseluruhan sebanyak 7,820 kes pelbagai penyakit direkodkan termasuk membabitkan tulang otot dan paru-paru, selain masalah pendengaran.

    "Bagaimanapun pekerja terbabit masih lagi bekerja dan sebahagiannya masih menjalani pemeriksaan berulang.

    "Melihat kepada masalah ini, JKKP mempergiatkan usaha mempromosikan konsep Pencegahan Kemalangan Melalui Rekabentuk (PtD) bagi mengurus keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

    "Ini berdasarkan jumlah kes hilang pendengaran yang dilihat meningkat secara konsisten sejak 2015 yang direkodkan sebanyak 5,000 kes membabitkan industri pengilangan membuat botol kaca, logam, besi, tin dan kuari," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pemuliharaan Sumber Pendengaran dan Pengurangan Bunyi yang diadakan di Dewan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Institut Minyak dan Gas UTM , Prof Dr Rahmat Mohsin.

    Kormain berkata, konsep PtD adalah inovasi yang akan membabitkan kos penyenggaraan jentera atau kos pembelian jentera baharu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan lebih efektif, sekali gus dapat mencegah kemalangan dan kesan kesihatan kepada pekerja seperti hilang pendengaran.

    "PtD memerlukan pereka bentuk projek atau jentera yang mempunyai pengetahuan dalam menganalisis bahaya dan menaksir risiko di peringkat awal reka bentuk dibuat," katanya.

    Katanya, penekanan terhadap reka bentuk yang selamat ke atas sesuatu jentera, secara tidak langsung majikan akan mematuhi kehendak kewajipan am majikan mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    Mengikut akta itu, majikan boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Katanya, sebanyak 19 kes majikan didakwa di mahkamah membabitkan sejumlah RM94,000 saman dan 1,700 tindakan punitif termasuk notis penambahbaikan serta surat arahan dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan kesihatan pekerjaan, tahun lalu.

    Terdahulu, pada majlis itu, JKKP menjalin kerjasama dengan UTM sebagai pusat penyelidikan bagi mengaplikasikan konsep PtD dalam kalangan industri berkaitan pencegahan kemalangan di peringkat reka bentuk. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pekerja Dapat Pekak Di Tempat Kerja "