• Pegawai Kanan Kerajaan Ditahan SPRM

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pegawai kanan kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM30,000.

    Sumber SPRM berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di sebuah hotel di bandar raya ini, kira-kira jam 2.40 petang semalam bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    Suspek disyaki meminta sejumlah wang rasuah daripada seorang pengurus projek syarikat kejuruteraan petroleum.

    Hasil siasatan, suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM30,000 daripada pengurus projek berkenaan supaya tidak diambil tindakan memasang mesin angkat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    Dalam serbuan di rumah suspek, pasukan penyiasat menemui wang tunai berjumlah RM18,505 yang disembunyikan di bilik dan bawah tangga kediaman suspek.

    Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk permohonan reman. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pegawai Kanan Kerajaan Ditahan SPRM "