• PDRM Mohon Tambah Anggota, Elaun Khas UTK

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan mempertimbangkan keperluan menambah jumlah anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan elaun khas pasukan elit itu bagi memenuhi keperluan keselamatan negara serta menarik lebih ramai menyertainya.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata keperluan menambah keanggotaan UTK ini bukan saja untuk memenuhi keperluan PDRM malah untuk keperluan menjaga keselamatan negara pada masa akan datang.

    "Elaun diterima pegawai dan anggota pasukan ini sekarang antara RM750 hingga RM900 sebulan, maka kita cadangan tambahan elaun dengan jumlah yang lebih munasabah antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan sejajar dengan peranan UTK yang besar dalam menjaga kedaulatan negara.

    "Ini juga sebagai tarikan supaya lebih ramai berminat untuk menyertai UTK kerana seperti mana yang kita tahu, bukan mudah untuk menyertai pasukan elit ini kerana perlu menjalani latihan asas yang keras dan mereka yang mempunyai daya tahan dan kecekalan luar biasa saja berjaya menyertainya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Beliau sebelum itu melakukan sesi lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras dekat sini.

    Menurut Mohamad Fuzi, pihak pucuk pimpinan PDRM sudah memutuskan sudah sampai masanya untuk kerajaan memberi pertimbangan berhubung penambahan jumlah elaun khas berkenaan.

    "Jumlah kenaikan elaun yang diminta PDRM adalah munasabah dengan peredaran semasa serta tugas dipikul oleh UTK yang semakin hari semakin mencabar selain sebagai tarikan untuk lebih ramai menyertai pasukan berkenaan.

    "Ini juga sebagai pengiktirafan kepada pasukan terbabit yang mempunyai standard tersendiri setanding pasukan elit pasukan elit polis negara lain," kata beliau lagi yang turut memaklumkan elaun khas terbabit kali terakhir disemak adalah lebih 10 tahun lalu.

    Jelas beliau, pasukan UTK yang kini mempunyai 410 anggota dan pegawai memerlukan tambahan sehingga 340 anggota lagi bagi memantapkan kemampuan pasukan itu selain memudahkan mereka melakukan pembahagian tugasan.

    "Terdapat 40 hingga 50 anggota UTK ditugaskan secara bergilir antara dua hingga tiga bulan di pantai timur dan barat Sabah selaras dengan keperluan keselamatan di negeri terbabit sejak krisis pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

    "Mereka sentiasa bersiap siaga dan bersedia digerakkan ke lokasi tertentu berdasarkan maklumat risikan dan kemungkinan wujud ancaman," kata beliau.

    Dalam pada itu, katanya pegawai dan anggota UTK sedia ada perlu memenuhi keperluan penugasan lain seperti menjaga keselamatan orang kenamaan, penembak tepat, situasi menyelamatkan tebusan serta situasi keselamatan lain.

    Katanya, jumlah keanggotaan UTK sudah wajar ditambah bagi sebagai persediaan menangani ancaman ke atas keselamatan negara yang datang dalam pelbagai bentuk pada masa hadapan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PDRM Mohon Tambah Anggota, Elaun Khas UTK "