• PDRM Laksana Pelbagai Pendekatan Khusus Untuk Wanita

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkasa pelbagai pendekatan bagi memastikan golongan wanita melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya dalam menangani sebarang ancaman jenayah.

    Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman Datuk Fatimah Abd Hamid berkata, antara inisiatif berkesan yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan ialah Skuad Aman Wanita (Amanita).

    “Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengadakan ceramah pencegahan jenayah, perbincangan mengenai isu keselamatan dan penerangan mengenai saluran yang boleh dihubungi bagi mendapatkan bantuan atau menyalurkan maklumat,” katanya kepada Bernama.

    Fatimah berkata, Amanita atau ‘Peace Lady’ yang ditubuhkan empat tahun lepas berperanan mendidik wanita terutamanya suri rumah sebagai rakan Amanita yang menjaga keselamatan diri, keluarga, tempat kediaman dan kawasan kejiranan.

    “Selain daripada Amanita, PDRM juga melaksanakan pelbagai pendekatan lain berhubung keselamatan wanita yang mendapat sambutan baik daripada golongan itu,” katanya.

    Beliau berkata, pegawai dan anggota polis wanita juga menjalankan tugasan Amanita selain menjalankan tugas hakiki mereka.

    Katanya, Skuad AMANITA turut berperanan mengajar dan memupuk kesedaran orang ramai khususnya wanita, mengenai keselamatan diri serta cara melindungi kawasan kejiranan masing-masing.

    Ia merangkumi kaedah mempertahankan diri daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, pencabulan dan jenayah siber.

    Skuad Amanita merupakan inisiatif PDRM yang dilancarkan pada Mac 2013.

    Lebih 10,000 anggota dan pegawai ‘Peace Lady’ di seluruh negara telah digerakkan bagi mendekati golongan wanita khususnya golongan suri rumah bagi sama-sama memerangi jenayah di persekitaran tempat tinggal mereka pada tahun ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PDRM Laksana Pelbagai Pendekatan Khusus Untuk Wanita "