• PBB Lantik Penyelaras Bantuan Baharu Myanmar

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menamakan penyelaras bantuan sementara baharu di Myanmar ketika kerajaan terus menyekat tuntutan membolehkan pekerja kemanusiaan ke Rakhine.

    Knut Ostby dari Norway, yang bekerja untuk PBB di 17 negara termasuk Timor Leste dan Iran, akan berkhidmat sebagai penyelaras PBB bermula hari ini.

    Sejak Ogos lalu, lebih 600,000 etnik Rohingya dilaporkan lari daripada kempen tentera di Rakhine, Myanmar, yang dikecam PBB sebagai pembersihan etnik.

    Pihak berkuasa Myanmar berkata, operasi ketenteraan menyasar mengusir pemberontak Rohingya yang melancarkan serangan ke atas pos polis pada 25 Ogos lalu.

    PBB menggesa kerajaan Myanmar menamatkan kempen tentera, membenarkan pekerja menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di Rakhine dan membuka laluan kepulangan etnik itu dari Bangladesh.

    Britain dan Perancis sudah membentangkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB yang menyenaraikan tuntutan itu dan menggesa pelantikan seorang penasihat khas PBB untuk Myanmar.

    Diplomat bagaimanapun berkata, China, penyokong bekas pemerintah junta, menolak gesaan supaya badan atasan PBB itu meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Myanmar. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " PBB Lantik Penyelaras Bantuan Baharu Myanmar "