• Patuhi Amaran Keselamatan - KKM

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Mangsa banjir diingatkan mengamalkan penjagaan kebersihan semasa dan selepas banjir, terutama membasuh tangan dengan sabun dan air bersih dalam penyediaan makanan serta kerja pembersihan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemakaian alat perlindungan diri seperti sarung tangan dan but perlu dititikberatkan supaya kecederaan serta sentuhan banjir dapat diminimumkan.

    "Orang ramai perlu peka dengan arahan pihak berkuasa seperti mengawasi anak daripada bermain banjir untuk mengurangkan kejadian tidak diingini seperti kecederaan, kejutan elektrik, kematian dan lain-lain.

    "Ketika di pusat pemindahan, patuhi peraturan ditetapkan dan jaga kebersihan tempat tinggal sementara kerana kawasan kotor akan menjadi tempat pembiakan vektor pembawa penyakit, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, banjir boleh berlaku tanpa amaran awal manakala air banjir boleh mendatangkan pelbagai penyakit berjangkit seperti cirit-birit, demam kepialu, Hepatitis A dan leptospirosis (kencing tikus).

    Katanya, sentuhan terus dengan air tercemar boleh menyebabkan jangkitan kepada luka, kulit, mata, telinga, hidung dan tekak selain penyakit bawaan vektor seperti denggi, Chikungunya dan malaria.

    "Hujan akan menyebabkan bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles, sekali gus meningkatkan populasi nyamuk dan boleh merebakkan penyakit bawaan nyamuk seperti Demam denggi, Chikungunya dan malaria.

    "Banjir juga memberi kesan negatif kepada pengendalian kes penyakit kronik, penjagaan kesihatan ibu hamil dan meningkatkan risiko mendapat kecederaan serta memerlukan penjagaan rapi," katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, lima fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir di Pulau Pinang iaitu Hospital Pulau Pinang, Klinik Kesihatan Mak Mandin, Klinik Desa Lahar Yooi, Klinik Kesihatan Perai dan Klinik 1Malaysia Taman Seri Delima. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Patuhi Amaran Keselamatan - KKM "