• Pasukan Khas Bincang Masalah Kekurangan Pekerja Ladang

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+
    Foto JAPEN
    KUCHING: Penubuhan satu pasukan khas dicadangkan bagi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan kelapa sawit khususnya di Sarawak.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Duta Republik Indonesia di Malaysia Rudi Kirana mencadangkan agar kerajaan Malaysia menubuhkan pasukan khas bagi berbincang dengan kerajaan republik itu bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan.

    “Cara yang paling baik ialah Malaysia menubuhkan pasukan khas dan mengadakan rundingan antara kerajaan dengan kerajaan (GtoG) untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar pekarangan Stadium Perpaduan selesai program  ‘Temu Kangen Presiden RI’ di Stadium Perpaduan semalam.

    Mengulas lanjut, Rudi berkata masalah berkenaan harus diselesaikan GtoG dan banyak aspek perlu diambil kira.

    Menurutnya, adalah tidak wajar untuk meminta Presiden Republik itu Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi mengulas mengenai perkara itu ketika beliau menghadiri sesi bersama masyarakat Indonesia di negeri ini dalam program ‘Temu Kangen Presiden RI’ semalam.-Sarawakiana
  • No Comment to " Pasukan Khas Bincang Masalah Kekurangan Pekerja Ladang "