• Park Geun-Hye Enggan Ke Mahkamah

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    SEOUL – Bekas presiden Korea Selatan Park Geun-hye yang kini ditahan dalam penjara, enggan hadir ke mahkamah pada Isnin untuk mengikuti sambungan perbicaraan kes rasuahnya, lapor agensi berita Yonhap.

    Sebulan lepas, beliau turut menolak untuk menghadiri perbicaraan kerana tidak berpuas hati dengan lanjutan waran tangkap yang dikenakan ke atasnya.

    Menurut Mahkamah Daerah Seoul, menerusi penjelasan dikemukakan kepada Pusat Tahanan Seoul, tempat beliau ditahan sejak akhir Mac, Park mengatakan beliau mengalami sakit belakang dan lutut bengkak.

    Berikutan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan dan sesi seterusnya akan tetap diadakan sama ada Park hadir atau tidak.

    Pemimpin yang dipecat itu didakwa pada April atas beberapa tuduhan, termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    Pada 13 Oktober, Mahkamah Seoul melanjutkan penahanannya selama enam bulan lagi.

    Park membantah keputusan itu dengan menuduh badan kehakiman dan pendakwaan tidak adil terhadap kesnya.

    Disebabkan itu, Park enggan hadir ke mahkamah untuk sesi perbicaraan akan datang kerana mendakwa dirinya menjadi mangsa dendam politik. Sejak itu perbicaraan kesnya ditangguhkan.

    Mahkamah melantik lima peguam pembela awam, ekoran peguam yang mewaklili Park sebelum ini meletak jawatan secara beramai-ramai tanda protes.

    Lima peguam baharu, yang hadir di mahkamah pada Isnin, berkata tiada seorang pun daripada mereka yang dapat bertemu dengan Park untuk membincangkan kes berkenaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Park Geun-Hye Enggan Ke Mahkamah "