• Pakatan Harapan Perlu Selesaikan Masalah Dalaman Parti - TPM

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR -- Permohonan Pakatan Harapan untuk didaftarkan masih belum dapat diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuha (RoS) berikutan beberapa perkara dalaman parti-parti terlibat belum diselesaikan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini termasuk kegagalan DAP menyelesaikan laporan pemilihan semula jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 Nov lepas.

    " RoS belum menerima laporan akhir dan senarai CEC terkini selepas pemilihan semula (DAP) itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil 1/2017 di Parlimen hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan perhimpunan agung tahunan sejak pendaftaran parti itu diluluskan serta permohonan pindaaan perlembagaan PPBM yang belum diluluskan turut menyebabkan permohonan Pakatan Harapan tidak dapat dilakukan.

    Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim hari ini bertemu Pakatan Harapan yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan pendaftaran pakatan itu.

    Ahmad Zahid berkata selain Alwi, pertemuan itu turut disertai pihak RoS dan penasihat undang-undang manakala Pakatan Harapan diwakili pengerusinya yang juga Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertemu dengan Dr Mahathir, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

    Beliau berkata pada pertemuan itu, Dr Mahathir meminta RoS memaklumkan kepada pihak Pakatan Harapan jika terdapat ketidakaturan terhadap permohonan yang dikemukakannya supaya mereka boleh membuat pembetulan.

    Sementara itu, Alwi yang turut hadir pada sidang berita itu, berkata Pakatan Harapan perlu mematuhi prosedur pendaftaran pertubuhan serta perlembagaan parti masing-masing.

    "Dua perkara itu masih belum diselesaikan oleh DAP dan PPBM untuk membolehkan kita mengambil tindakan selanjutnya mengikut proses pendaftaran, dan dengan itu barulah kita boleh lakukan tindakan selanjutnya," kata beliau.

    Pada 2 Nov lepas, RoS telah memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Pakatan Harapan yang dibuat pada 24 Julai lepas masih dalam pertimbangan.

    Baru-baru ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

    DAP pula menghadapi masalah berkaitan pemilihan semula CEC sebelum ini yang tidak sah sehingga memaksa parti itu mengadakan semula pemilihan CEC baharu minggu lepas.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Harapan Perlu Selesaikan Masalah Dalaman Parti - TPM "