• Padah Raba Punggung

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    Gara-gara meraba punggung rakan sekerja, seorang pelayan restoran makanan segera dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

    Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Mikael Mohamad Hasni, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan meraba punggung wanita berusia 18 tahun itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah restoran makanan segera di Damansara Damai, di sini, pada 8 malam, 21 Oktober lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula Khamis.

    Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia akan berkahwin pada Februari tahun hadapan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira faktor keselamatan awam kerana jika hukuman rendah dikenakan ia akan menyebabkan kes jenayah seksual akan semakin berleluasa. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Padah Raba Punggung "