• Padah Penonton Biadab, FAM Jadi Mangsa Didenda RM127k

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    SELEPAS diaibkan laporan ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang letak Malaysia pada tangga ke-170, maruah sukan popular negara itu semakin tercalar teruk.

    Semalam, arena bola sepak dunia dikejutkan dengan berita sedih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dihukum denda AS$30,000 (RM127,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akibat kebiadaban penyokong sendiri!

    Begitulah padah diterima badan induk sukan itu gara-gara tindakan kurang ajar segelintir penyokong negara kita sengaja ‘menganjingkan’ pasukan pelawat dari Brunei dan Singapura menerusi chant (aksi sorakan) beramai-ramai.

    AFC dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan insiden sekumpulan penyokong tuan rumah yang dikesan jelas mencabuli peraturan dalam saingan Kumpulan A pada Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Shah Alam, Selangor.

    Padahnya FAM sebagai pihak berkepentingan dalam kes itu didapati bersalah kerana telah melanggar Artikel 58.1 (Diskriminasi), dibaca dengan Artikel 65.1 (Tingkah Laku Penonton) Kod Disiplin dan Etika AFC.

    FAM didenda AS$15,000 (RM63,500) kerana sekumpulan penyokong biadab menyanyikan ‘Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa sokong Malaysia, Brunei anjing dibunuh saja’ ketika Malaysia menentang Brunei pada 14 Ogos.

    Malah FAM juga didenda AS$15,000 (RM63,500) kerana sekumpulan penyokong menyanyikan chant ‘Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa sokong Malaysia, Singapura anjing dibunuh saja’ dan ‘Singapura itu anjing‘.

    “Mereka (penyokong) membuat kesalahan itu sewaktu Malaysia menentang Singapura pada 16 Ogos lalu,” kata AFC selepas Jawatankuasa Disiplin dan Etika badan bola sepan benua itu bermesyuarat pada Jumaat lalu.

    Lebih malang lagi, FAM menerima hukuman tambahan atas kesalahan penyokong luar baling 50 hingga 60 botol minuman mineral ke padang ketika aksi Kumpulan B yang melibatkan Indonesia dan Kemboja pada 24 Ogos.

    Hasilnya, badan bola sepak negara itu didenda lagi sebanyak AS$5,000 (RM21,167). FAM selaku pasukan tuan rumah didenda kerana didapati melanggar Artikel 64.1 (Penganjur Perlawanan) Kod Disiplin dan Etika AFC.

    FAM juga didenda AS$7,500 (RM31,751) ekoran tindakan penyokong bakar mercun pada minit ke-87 ketika separuh akhir Malaysia lawan Indonesia pada 26 Ogos lalu yang melanggar Artikel 65.1 dan Artikel 64.1 kod itu.

    Semua denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari bermula semalam. Secara keseluruhan, pihak FAM kerugian sebanyak AS$42,500 (RM180,000) hanya kerana kesalahan penyokong sepanjang temasya 19 hingga 30 Ogos itu.

    Persoalannya, adakah mentaliti penyokong masih tidak berubah seiring transformasi bola sepak dunia yang makin maju? Mungkin FAM pun ‘pening kepala’ hendak jawab perangai buruk peminat kita. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Padah Penonton Biadab, FAM Jadi Mangsa Didenda RM127k "