• Operasi Mencari MH370 Mungkin Diteruskan Januari 2018

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjalinkan kerjasama dengan China dan Australia bagi mengkaji data penilaian kawasan pencarian Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang berkeluasan kira-kira 25,000 kilometer persegi sebelum membuat keputusan menyambung operasi pencarian.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ketiga-tiga negara tersebut mahu memastikan ketepatan data teknikal kawasan pencarian baharu yang dikemukakan pakar dari Australia.

    “Itu matlamat kami dan selepas itu pencarian boleh dilaksanakan di kawasan yang lebih terperinci mungkin merangkumi 5,000 kilometer persegi yang terletak di pinggir utara, selatan Lautan Hindi berbanding zon operasi sebelum ini.

    “Kita akan terus mencari MH370, operasi mencari akan diteruskan dianggarkan pada Januari tahun depan sekiranya ketiga-tiga negara berpuas hati dengan semua syarat yang dikemukakan kepada Ocean Infinity,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan kepada anak-anak krew MH370 dan MH17, di sini hari ini.

    Dalam majlis tersebut, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyampaikan sumbangan kepada 40 anak-anak krew pesawat yang terkorban dalam tragedi tiga tahun lalu.

    Mereka masing-masing menerima sumbangan RM5,000 seorang bermula hari ini dan akan diteruskan pada setiap tiga bulan berikutnya sehingga mencapai RM40,000.

    Bantuan itu disalurkan Persatuan Pendidikan ‘Flagbearer’ hasil sumbangan pelbagai syarikat swasta di negara ini.

    Jelas Tiong Lai, Malaysia telah menetapkan dua syarat antaranya data penilaian pakar Australia perlu tepat dan syarat perjanjian yang dikemukakan syarikat Ocean Infinity perlu memihak kepada ketiga-tiga negara tersebut.

    “Ketiga-tiga negara mahu Ocean Infinity mengendalikan operasi pencarian semula MH370 jika syarat yang dikemukakan dipersetujui syarikat berkenaan.

    “Kita sudah mengadakan pertemuan dengan syarikat itu sejak September lalu untuk membuat perundingan mengenai syarat menyambung operasi pencarian MH370 di perairan Australia,” katanya.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Operasi Mencari MH370 Mungkin Diteruskan Januari 2018 "