• Objek Pelik Dari Luar Sistem Solar Dikesan

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    HAWAII - AMERIKA SYARIKAT. Ahli astronomi berjaya mengesan objek pelik memasuki sistem suria dan ia dipercayai berasal dari sistem yang berbeza.

    Menurut laporan CNN, objek tersebut yang dinamakan 'Oumuamua disahkan bukan dari sistem suria berdasarkan orbitnya dan bergerak dengan kelajuan 137,920 kilometer per jam.

    Objek berkenaan mula dikesan pada 19 Oktober lepas menggunakan Pan-STARRS 1 di Hawaii dan beberapa teleskop lain sebelum ia hilang dari pandangan.

    "Apa yang kita temui adalah objek yang ligat berpusing dan bersaiz sebesar padang bola sepak," kata ketua penyelidik dan ahli astronomi, Karen Meech dari Universi Hawaii.

    'Oumuamua dilaporkan objek berbatu panjang berbentuk seperti rokok dan mempunyai warna merah gelap disebabkan radiasi akibat sinaran kosmik.

    Warna 'Oumuamua dikatakan sama dengan objek yang ditemui di Kuiper Belt yang terletak di luar sistem solar.

    Objek berkenaan dinamakan 'Oumuamua berdasarkan lokasi teleskop yang menemuinya.

    "Selama beberapa dekad kami berteori mengenai objek dari sistem lain dan sekarang, untuk kali pertama, kita ada bukti pertama ianya wujud," kata pegawai kanan di NASA, Thomas Zurbuchen.

    Kata Thomas, penemuan tersebut adalah penemuan bersejarah dan membuka era baharu untuk penyelidikan formasi sistem-sistem di luar sistem solar.

    Ahli astronomi juga mengatakan 'Oumuamua dari arah sistem Vega, sebuah bintang yang terang dari konstelasi Lyra.

    Disebabkan kelajuannya yang terlalu laju, pelanggaran 'Oumuamua dengan bumi akan menyebabkan kemusnahan dan menghasilkan tenaga lebih hebat dari mana-mana objek dari sistem solar sendiri.

    Teleskop Hubble dan Spitzer mendapati 'Oumuamua kini pada kedudukan 124 juta batu dari bumi dan trajektorinya telah melepas orbit planet Marikh dan akan melepas Musytari pada Mei depan.

    'Oumuamua seterusnya akan melepas orbit Zuhal pada Januari 2019 dan meninggalkan sistem solar menuju ke konstelasi Pegasus.

    - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Objek Pelik Dari Luar Sistem Solar Dikesan "